Home » About Us » In the News » Pembikin filem AS yang juga guru agama Islam

Pembikin filem AS yang juga guru agama Islam

24 September 2011

Title (Translated): American film maker who is also an Islamic religious teacher
Translated: Mustafa Davis at ease with his American identity after realising that he embraced Islam and not Arab.

Read on [or click here]

Pembikin filem AS yang juga guru agama Islam

Mustafa Davis tonjol identiti sebagai orang Amerika lepas sedar beliau masuk Islam, ‘bukan masuk Arab’

Oleh
Shamsul Jangarodin
BELIAU pembikin filem dokumentari dari Amerika Syarikat yang banyak merangkul anugerah, termasuk di festival filem antarabangsa di Beirut dan Santa Monica.

Namun, Encik Mustafa Davis, 38 tahun, juga seorang guru agama Islam.

Beliau mengajar fiqah kepada penganut baru Islam dan mereka yang bermasalah di pertubuhan yang ditubuhnya bersama beberapa kawan di tempat tinggalnya di San Francisco, Ta’leef Collective.

Encik Mustafa, yang sering memakai topi leper ala penyanyi Maher Zain dan berbaju serta berseluar labuh seperti seorang personaliti hip-hop, mencerminkan hasrat menonjolkan identiti beliau sebagai seorang Muslim warga Amerika.

‘Lebih 10 tahun sejurus setelah memeluk Islam saya menjadi bermacam-macam orang. Saya menjadi orang Mauritania semasa saya belajar di sana. Saya jadi orang Syria semasa belajar di Syria. Orang Magribi, Yaman, Abu Dhabi, tapi bukan orang Amerika. Saya pakai jubah dan kopiah.

‘Namun, saya sedar saya sebenarnya orang Amerika. Saya bukan orang Arab. Saya masuk Islam, bukan masuk Arab,’ kata Encik Mustafa.

Krisis identiti Encik Mustafa bermula semasa beliau remaja.

Bapanya warga Amerika keturunan Afrika dan ibunya keturunan Jerman, tetapi mereka bercerai semasa beliau berusia dua tahun.

Ini membuat Encik Mustafa menganggap masyarakat Islam yang baru ditemuinya sebagai keluarga angkatnya hingga tanpa menyedarinya beliau sebenarnya meniru budaya orang lain yang bukan jati dirinya.

Untuk menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang dilema yang sering dialami golongan mualaf Amerika, yang keliru antara budaya masyarakat Islam yang berbagai-bagai dengan agama Islam, Encik Mustafa menghasilkan beberapa dokumentari mengenai pengalaman beberapa individu tersebut.

Salah satu dokumentari itu, Wayward Son – The Jordan Richter Story (Anak Lelaki Tidak Terkawal – Kisah Jordan Richter), mengisahkan pengalaman pahit pemain papan gelungsur terkenal, Jordan Richter, yang meninggalkan kerjaya profesional bermain papan gelungsur setelah memeluk Islam semata-mata kerana diberitahu kononnya ia ‘haram’.

Dokumentari itu menyingkap kekosongan diri Richter, yang sekarang dikenali sebagai Abdul Jaleel, kerana gagal menyesuaikan diri tetapi akhirnya kembali menjadi pemain papan gelungsur.

‘Selain menggambarkan pengalaman saya, dokumentari saya merupakan saluran seni bagi saya meluahkan isi hati saya,’ kata Encik Mustafa, yang memeluk Islam 15 tahun lalu.

Ketika baru memeluk Islam, beliau mahu mendekatkan diri pada Tuhan dan mengenali Islam setelah membaca Surah Mariam dalam senaskhah Quran yang beliau temui di kedai buku.

Beliau kemudian menjelajah ke beberapa negara Islam untuk mempelajari Islam dan bahasa Arab.

Setelah sedar beliau bukan seorang ‘Pak Arab’, Encik Mustafa kembali ke Amerika tahun lalu dan memberi tumpuan pada syarikat penerbitan beliau.

Encik Mustafa telah berumah tangga dengan seorang warga Amerika asal Somalia dan mempunyai tiga anak – Mohamad, 13 tahun, Abdullah, 10 tahun, dan Fatimah, sembilan tahun.

Beliau berada di Singapura baru-baru ini bagi mengendalikan bengkel mengenai pembikinan filem dan fotografi, termasuk di kumpulan media Singapore Press Holdings (SPH).

Lawatannya diuruskan Jabatan Negara Amerika dan termasuk ke Malaysia, Indonesia, Australia dan New Zealand

Rabu lalu, hari terakhir Encik Mustafa berada di sini sebelum berangkat ke Indonesia, beliau menayangkan Wayward Son – The Jordan Richter Story dan mengadakan perbincangan bersama sekitar 300 belia di auditorium Madrasah Aljunied Al-Islamiyah.

Acara itu dianjurkan majalah dalam talian Islam, MuslimBuzz.