Title (Translated): Developments of individuals that characterise 2011

Translated: Last year (2010), the Berita Harian identified 50 individuals who have the potential to positively contribute this year (2011), thus enhancing the general community development. The 50 professionals were listed as a result of observation by Berita Harian along with feedback from various sources. This report highlights the development of a number of these individuals.

Read on [or click here]

Tahun lalu, Berita Harian telah mengenal pasti 50 individu yang dirasakan mampu membuat sumbangan lebih menyerlah tahun ini, sekali gus membantu meningkatkan lagi graf kemajuan masyarakat. 50 karyawan tersebut telah disenarai hasil pemerhatian akhbar ini serta maklum balas daripada pelbagai sumber. Laporan ini menyorot perkembangan beberapa individu tersebut.

Oleh Nur’ Adilah Mahbob

TAHUN 2011 sudah pun memasuki suku ketiga. Namun, dalam bulan-bulan sebelumnya, dunia telah menyaksikan pelbagai peristiwa – yang manis dan yang pahit.

Antaranya bencana tsunami dan nuklear di Jepun serta pilihan raya umum (GE) Singapura yang bersejarah. Arus perubahan juga semakin dirasakan dengan masyarakat Melayu/Islam mahu turut sama terus menyumbang ke arah kemajuan nasional.

Tahun lalu, akhbar ini telah mengenal pasti 50 individu Melayu/Islam yang dijangka memainkan peranan penting dalam membuat ‘lompatan’ bagi meningkatkan graf kemajuan masyarakat, sekali gus menjadi tajuk berita.

Laporan ini menyorot perkembangan sebahagian daripada 50 individu itu, yang terdiri daripada karyawan sektor awam dan swasta serta tokoh politik, asatizah, saintis, usahawan, olahragawan dan penggiat seni.

Seperti yang dijangkakan, ramai di kalangan mereka sudah pun memainkan peranan dan membuat sumbangan menyerlah.

Dalam bidang agama misalnya, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, 40 tahun, memulakan tugasnya sebagai Mufti baru Singapura pada 1 Januari lalu.

Bahkan, beliau pernah mewakili Singapura di peringkat antarabangsa menerusi satu simposium hartanah wakaf yang membincangkan isu-isu dan permasalahan wakaf di Istanbul, Turkey, pada Mei lalu.

Beliau juga ditampilkan sebagai penceramah utama dalam acara kemasyarakatan seperti simposium isu-isu wanita anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Februari lalu.

Seorang lagi individu dalam bidang agama yang mendapat perhatian ialah Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, 40 tahun, pengarah urusan pusat pendidikan SimplyIslam.

Baru-baru ini, beliau melancarkan majalah dalam talian, Muzlimbuzz.sg, dan mewakili Singapura sebagai seorang panelis yang diundang untuk membincangkan topik media sosial dalam Forum Ekonomi Sedunia (WEF) mengenai Asia Timur Jun lalu.

Bidang politik juga menjadi perbualan hangat tahun ini dengan GE Mei lalu disifatkan sebagai satu titik perubahan politik negara.

Malah, salah seorang daripada individu yang disenaraikan akhbar ini telah dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP).

Dr Intan Azura Mokhtar, 34 tahun, pensyarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), merupakan antara dua calon baru Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipilih sebagai AP. Beliau memenangi kerusinya di GRC Ang Mo Kio.

Sementara itu, seorang calon pembangkang Parti Pekerja (WP), Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, 35 tahun, telah mencipta sejarah kerana menjadi AP pembangkang Melayu pertama sejak Singapura mencapai kemerdekaan.

Bersama pasukannya, beliau menawan GRC Aljunied daripada PAP, pimpinan mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo.

Beberapa individu lain dalam senarai 50 orang itu juga telah membantu mengharumkan nama negara di persada dunia, khususnya dalam bidang bantuan kemanusiaan.

Antaranya ialah Pengarah Operasi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Kolonel Anwar Abdullah, 46 tahun, yang telah merancang, mengerah dan meninjau operasi menyelamat semasa krisis nuklear di loji Fukushima Daiichi, Jepun.

Seorang lagi ialah ketua eksekutif badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief, Encik Hassan Ahmad, 39 tahun, yang memimpin pasukannya ke Jepun untuk menghulurkan bantuan.