Home » About Us » In the News » Kenali 50 Wajah (50 Faces)

Kenali 50 Wajah (50 Faces)

SimplyIslam’s Managing Director, Mohamed Nassir, was mentioned in an article by Berita Harian entitled “Kenali 50 Wajah” in which he was listed as among 4 individuals who are expected to play a crucial role in directing and shaping the ‘face’ of the Singapore Muslim community in adapting religious life to modern living, while strengthening the family institution.

Read on or [click here]. [View original newspaper article]

KENALI 50 WAJAH
Oleh Chairul Fahmy Hussaini, Nur Adilah Ahmad Mahbob dan Adli Yashir Kuchit

TAHUN 2010 yang hampir berakhir ini penuh dengan pelbagai peristiwa setempat, antaranya pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Tahun 2011 pula, kita boleh menjangka pilihan raya umum diadakan, selain pilihan raya presiden.

Bagi masyarakat Melayu, yang turut menghadapi pelbagai cabaran dan persaingan, pastinya akan terus mendukung usaha untuk sama-sama menyumbang ke arah kemajuan nasional.

Antara isu yang sering diperkatakan adalah perlunya lebih ramai golongan muda Melayu tampil untuk membantu membuat perubahan.

Siapakah antara karyawan Melayu yang dijangka dapat terus meningkatkan sumbangan kepada masyarakat Melayu dan negara dalam pelbagai lapangan?

Dalam hal ini, Berita Harian telah mengenalpasti sebilangan invididu Melayu yang dirasakan mampu membantu meningkatkan lagi geraf kemajuan masyarakat.

Mereka terdiri daripada karyawan sektor awam dan swasta serta tokoh politik, asatizah, saintis, usahawan, olahragawan dan penggiat seni, yang dirasakan mampu mengharumkan nama bangsa dan negara pada tahun depan.

Hasil pemerhatian akhbar ini, serta perbualan dengan pelbagai sumber, kami menyenaraikan 50 karyawan yang antara mereka dijangka memainkan peranan atau membuat sumbangan lebih menyerlah.

Mungkin pula ada karyawan yang lebih muda ini berpotensi menyertai politik dan dikatakan telah menghadiri sesi teh parti pemerintah.

Namun, ingin dinyatakan bahawa ia setakat senarai saja kerana pastinya ada lebih ramai lagi individu berbakat yang tidak tersenarai.

Dalam bidang keagamaan misalnya, akhbar ini merasakan empat individu akan memainkan peranan sangat genting dalam memimpin dan mencorakkan ‘wajah’ masyarakat Muslim Singapura dalam menyesuaikan kehidupan beragama dengan dunia moden, di samping memantapkan institusi keluarga.

Senarai kami mengandungi individu seperti bakal Mufti baru, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram; Presiden, Mahkamah Syariah, Ustaz Alfian Yasrif Kuchit; Presiden, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Sapiah Molla; dan, Pengarah Urusan SimplyIslam, Encik Mohammed Nassir Abdul Sukkur,

Sementara itu, mungkin tidak ramai yang ketahui peranan Cik Sharifah Farah Mahmood Aljunied dalam usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mendekati belia.

Sebagai Timbalan Pengarah, Pembangunan Kurikulum dan Belia, Cik Sharifah Farah memainkan peranan di belakang tabir dalam membantu melakar pendekatan serta strategi yang relevan bagi pembelajaran agama dalam konteks masyarakat Singapura, melalui program-program Kids dan Teens aLive.

Dalam kepimpinan nasional, dua individu disebut-sebut sebagai calon untuk dipertandingkan dalam pilihan raya presiden yang harus diadakan pada atau sebelum Ogos ini.

Mereka adalah Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi dan anggota Majlis Penasihat Presiden (CPA), Encik Po’ad Shaik Abu Bakar Mattar.

Tanggungjawab yang dipikul Menteri Negara (Ehwal dalam Negeri dan Pendidikan) Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad juga menerima pemerhatian akhbar ini.

Usaha beliau dalam ‘mempromosikan’ pendidikan prasekolah dan dalam menangani isu kenakalan remaja dan masalah samseng di peringkat nasional adalah amat kritikal.

Parti politik pembangkang juga dijangka turut mencipta sejarah. Pengurus Projek Serantau, Cedegim, Encik Syafarin Sarif, dijangka menjadi calon Melayu pertama dari parti pembangkang memasuki Parlimen.

Beralih pada bidang kesihatan pula, tiga karyawan – pakar jantung, Dr Abdul Razakjr Omar; Zamil Penyelidik Kanan, Dr Azlinda Anwar; dan pakar mata Dr Mohamad Rosman Othman – dijangka lebih ‘sibuk’ dengan tugas mereka sebagai pakar perubatan dan saintis.

Di arena media, Cik Zuraidah Ibrahim, yang baru-baru ini dilantik Timbalan Editor di akhbar Inggeris The Straits Times, disenarai kerana dijangka memikul tugas penting menyelia liputan pilihan raya umum dan pilihan raya presiden yang dijangka diadakan tahun depan.

Dalam memperkasa masyarakat, Encik Saktiandi Supaat, Encik Alwi Hafiz, Encik Shafie Shamsuddin, serta beberapa pemimpin badan Melayu/Islam, seperti Cik Moliah Hashim dan Encik Nizam Ismail dilihat sebagai antara peneraju utama.

Menyentuh isu perubahan iklim dan pemanasan global pula, Pengarah Kumpulan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Encik Rossman Ithnain; dan Zamil Penyelidik Madya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Sofiah Jamil, dijangka terlibat lebih aktif dalam melakar sumbangan rakyat dan republik ini dalam menangani isu itu.

Di sebalik sekitaran iklim yang semakin tidak menentu digandingkan dengan bencana alam yang kian berleluasa di merata dunia, peranan badan bantuan kemanusiaan seperti Mercy Relief, diterajui Ketua Eksekutifnya, Encik Hassan Ahmad, dan sumbangan Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) di bawah pimpinan Kolonel Anwar Abdullah sebagai pengarah operasi, amat genting.

Bagi bidang seni dan kesusasteraan pula, pelakon Rafaat Hamzah, penyanyi Sezairi Sezali dan sasterawan Johar Buang mungkin menjadikan senario seni lebih gah dengan sentuhan estetik dan kreativiti mereka.

Di harap kesemua 50 individu ini dapat memainkan peranan lebih ‘aktif’ tahun depan.