23 Okt 2011
Title (translated): Islam Is Not Complicated

Read on [or click here] [PDF]

ISLAM TIDAK RUMIT
Oleh Suhaimi Mohsen

‘SimplyIslam’ pegang teguh bahawa pemahaman dan pengamalan agama adalah untuk membantu, bukan menyukarkan penganutnya

ISLAM agama mudah dan tidak memberatkan. Ia mudah difahami dan mudah diamalkan.

Hal ini adalah antara yang mahu ditekankan oleh sekumpulan aktivis Islam menerusi pertubuhan yang mereka namakan SimplyIslam.

Menerangkan kenapa nama itu dipilih, Pengarah Urusan SimplyIslam, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, berkata sebahagian orang memperlihatkan Islam sebagai sangat rumit dan sukar diamalkan.

‘Sefaham kami, peraturan dalam hukum Fiqah memudahkan kehidupan kita. Ia menjelaskan bagaimana kita harus bertindak ketika menghadapi sesuatu keadaan, bagaimana menjadikan keadaan itu mudah dalam mengamalkan perintah agama.

‘Kami mahu membawa kembali kemudahan mengamalkan agama itu kepada para penganut agar mereka tidak terbelit pada haram dan bidaah sahaja, dan membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai Muslim – sebagai peniaga, pelajar, askar Muslim dan apa sahaja.’

PENGHAYATAN ISLAM
Antara pendekatan yang diambil ialah menawarkan kursus-kursus penghayatan Islam.

‘Maka itu, kami tiadakan peperiksaan dalam sistem madrasah kami, tetapi mempunyai penilaian bagi mengukur tahap pemahaman tentang apa yang telah dipelajari. Tidak perlu periksa untuk jadi orang Islam.

‘Para pelajar madrasah kami juga tidak pakai uniform. Kami mahu mereka relaks dan mudah mengikuti kelas agama. Kami tidak mahu mereka berasa pergi madrasah dan melakukan solat sebagai tanggungjawab yang berat atau berasa menjadi Muslim itu sukar.

‘Kami mahu mereka berasa senang. Sistem pembelajaran kami juga berteraskan projek dan mereka belajar ikut rentak mereka. Mereka sudah ada tanggungjawab besar terhadap pelajaran di sekolah dan kami tekankan pentingnya pendidikan di sekolah awam.

‘Islam adalah pembelajaran sepanjang hayat. Kami ambil pendekatan menyeluruh – menjadi Muslim bukan sekadar tahu tapi juga jadi penyumbang sebagai seorang doktor, jururawat atau apa juga bidang kerjaya.

‘Pemahaman dan pengamalan agama adalah untuk membantu mereka, bukan menyukarkan mereka,’ jelas Encik Nassir yang telah lama aktif dalam pertubuhan agama.

Beliau pernah bertugas di Darul Arqam Singapura, kemudian melanjutkan pelajaran di United Kingdom sebelum pulang dan bekerja sebagai pegawai di Masjid Abdul Aleem Siddique selama lima tahun.

PENUHI KEPERLUAN
Semasa bertugas di masjid itu, beliau dapati kurang program bagi masyarakat Islam yang selesa berbahasa Inggeris seperti India Muslim dan anak ekspatriat.

Beliau dan beberapa rakan yang sealiran, seperti Encik Feisal J Marican, (kini Pengurus Besar, Khidmat Korporat, Mini Environment Services), kemudian berbincang bagaimana keperluan itu dapat dipenuhi.

Pada Jun 2006, mereka membentuk SimplyIslam secara rasmi dan menghasilkan sukatan madrasah, bentuk operasi dan perniagaan dan memulakan operasi di Al-Wehdah (Persatuan Arab) di Lorong 27, Geylang.

Dengan kegiatan yang berkembang dan pertambahan pelajar (kini kira-kira 300 pelajar madrasah), SimplyIslam berpindah ke Still Road.

Antara kegiatan utama SimplyIslam ialah:

Madrasah: Mengikut sukatan madrasah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan beberapa tambahan, merangkumi pembelajaran Al-Quran, hadis, sirah, fiqah, solat. Kaedah berbentuk interaktif menerusi pelaksanaan projek dan perbincangan.

‘Kami mahu Islam menjadi sebahagian hidup mereka, bukan sekadar duduk, dengar dan ambil peperiksaan,’ jelas Encik Nassir.

Selain pelajar setempat, pelajarnya termasuk dari Bangladesh, Nigeria dan England.

Pendidikan agama bagi orang dewasa: Ini dianjurkan pada sebelah malam hari biasa dan pada hujung minggu, berpandukan beberapa buku agama seperti Imam Al-Ghazali dan Al-Haddad.

Beberapa kursus lain seperti perubatan Islam turut dianjurkan.

Program bahasa Arab: Kursus asas bahasa Arab dan pertuturan bahasa Arab (sekadar tanam minat dan cinta kepada bahasa Arab sehingga terdorong untuk belajar bersungguh-sungguh.) Ia akan memulakan program sijil dan diploma dengan Kolej Masyarakat Arab di Jordan.

SimplyIslam juga menyediakan khidmat terjemahan daripada/kepada bahasa Arab.

Pelanggannya termasuk agensi pemerintah bagi melatih pelatih luar negeri (yang berbahasa Arab dari beberapa negara Arab seperti Qatar dan Abu Dhabi) di sini.

Program cendekiawan Islam: Menganjurkan seminar, bengkel, ceramah dengan cendekiawan Islam antarabangsa. Antara penceramah yang pernah diundang ialah Habib Umar Hafiz, Syaikh Hisham Kabbani, Syeikh Ahmed Tijany, Syeikh Abdul Hakim Murad, Syeikh Afeefuddin dan beberapa ulama lain. Ceramah mereka banyak berteraskan penghayatan Islam sederhana.

Menganjurkan kegiatan berkala. Contohnya, mengumpulkan $19,000 bagi melaksanakan Program Ihsan Ramadan – memberi bantuan kepada lebih 70 keluarga (makanan dan wang) daripada senarai MKAC dan Pusat Khidmat Keluarga Ang Mo Kio.

Menurut Encik Nassir, pertubuhannya baru menggerakkan perbincangan mengenai Islam menerusi wadah Internet yang dinamakan Muslim Buzz.

Ia merangkumi majalah Islam online yang dimulakan Mei lalu. Ia membincangkan pelbagai topik termasuk perbincangan isu semasa, resipi, fesyen, gaya hidup, kerohanian, selera dan makanan dan perbincangan mengenai filem.

Antara yang hangat dibincang di Muslim Buzz baru-baru ini ialah tentang isu azan di McDonald’s semasa Ramadan.

DAMPINGI MASYARAKAT
‘Wadah begini penting untuk mendampingi masyarakat,’ kata Encik Nassir, yang juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Julai lalu misalnya, beliau diundang ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Jakarta dan menerajui perbincangan mengenai belia, agama dan rangkaian sosial).

Beberapa projek lain yang berkaitan dakwah juga sedang dalam perancangan bagi lima tahun akan datang.

Antaranya ialah rancangan projek menerbitkan buku (daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris) untuk pasaran antarabangsa, mengembangkan Muslim Buzz, menerbitkan buku direktori keislaman bagi perniagaan di peringkat serantau dan beberapa projek lain.

‘Setakat ini kami berasa terangsang terutama melihat orang ramai menghargai program kami. Muslim Buzz juga mula berkembang.

‘Dengan lebih ramai orang mengenali kami, ini bermakna kami boleh kurangkan belanja publisiti dan menyalurkannya kepada usaha memperkemas program,’ kata Encik Nassir yang sudah dua tahun disertakan dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh, terbitan Royal Institute of Strategic Studies di Amman, Jordan.